Monday, September 7, 2015

Terima Kasih Cikgu

Posted By: Indera Pujangga - 5:43 AM

Terima Kasih Cikgu

Cikgu Stephen melihat ruang bilik itu.Di dalamnya penuh dengan murid Tahun 6 dan ibu bapa mereka. Mereka saling berpelukan dan menangis. Ceramah motivasi yang diberikan oleh Cikgu Stephen menusuk ke dalam hati murid dan ibu bapa. Cikgu Stephen menjelaskan betapa pentingnya menghormati dan mendapat restu ibu bapa dalam hidup. Mereka yang berjaya adalah mereka yang direstui oleh ibu bapa. Seorang murid terkial-kial. Sesaat, ia menarik perhatian Cikgu Stephen. “Kenapa awak tidak pergi kepada ibu bapa awak?” tanya Cikgu Stephen. “Mereka tiada bersama dengan saya cikgu. Kedua-dua mereka telah meninggal dunia,”jawab murid itu. Cikgu Stephen tersentap mendengar kata-kata murid itu. Tidak lama, Cikgu Stephen mengusap kepala murid itu dan membisik lembut kepadanya. “Jadi, pilihlah salah seorang daripada kalangan ibu bapa di sini dan peluklah mereka dengan dengan erat.Pergilah,”kata Cikgu Stephen. Tanpa berfikir panjang murid itu segera mendapatkan seorang  ibu daripada kalangan ibu yang ada di situ. “Boleh saya peluk makcik? Saya tiada sesiapa lagi. Saya ingin  restu makcik untuk lulus dalam ujian,”kata murid itu.Matanya bergenang. Ibu itu terus mengangguk dan memeluk erat murid itu. Keduanya menangis. Ibu itu sempat memberitahu sesuatu kepada murid itu.”Banggakanlah kedua ibu bapa kamu walaupun mereka telah tiada kerana mereka sentiasa memerhatikan kamu dari syurga.” Ibu itu kemudiannya melihat Cikgu Stephen sambil tersenyum.Cikgu Stephen membalas senyumannya. Dan, murid itu masih lagi memeluk ibu itu dengan erat.Seakan dia tidak mahu melepaskan.Seakan dia ingin terus merasa hangat kasih dan pelukan seorang ibu yang telah lama dia rindukan. Cikgu Stephen melihat wajah guru-guru di dalam bilik itu. Guru-guru tidak dapat menahan air mata. Setabah mana seorang cikgu, jatuh juga air mata menuruni pipi. Cikgu Stephen mengusap kepalanya dan menghela nafas panjang.Nyata kedatangannya ke sekolah ini tidak sia-sia.Harapannya cuma satu, agar perkongsiannya ini  menjadi bekalan untuk murid Tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. Baginya,dia hanyalah seorang guru yang berkongsi ilmu, yang menjadikan keputusan yang hebat adalah mereka sendiri.Akhirnya, tanpa disedari matanya juga bergenang.Dia tidak menyekanya.Biarlah ianya menitis.
Tamat.

p/s: Selamat menduduki peperiksaan UPSR 2015 kepada semua murid Tahun 6 esok. ;)


Gambar:Gambar hiasan

About Indera Pujangga

Organic Theme is officially developed by Templatezy Team. We published High quality Blogger Templates with Awesome Design for blogspot lovers.The very first Blogger Templates Company where you will find Responsive Design Templates.

0 comments:

Copyright © 2015 creativeneuron

Designed by Templatezy | Distributed By Gooyaabi Templates