Monday, August 31, 2015

Shan, Empat Musim Di Hatiku (Sipnosis)

Posted By: Indera Pujangga - 8:28 PM


Shan, Empat Musim Di Hatiku (Sipnosis)

Shan, Empat Musim Di Hatiku adalah sebuah kisah persahabatan di antara Simon dan Shan.Simon dan Shan berkawan sejak kecil lagi.Mereka tinggal berjiran dan membesar bersama. Simon adalah seorang yang suka membaca buku manakala Shan adalah seorang yang suka mendengar muzik. Pelbagai suka dan duka mereka alami. Simon sering diejek oleh kawan sejiran mereka kerana dia sering membawa buku dan nota catatan ke mana sahaja dia pergi.Pernah, mereka merampas buku dan nota catatan Simon dan mengoyakkannya. Kejadian itu cuba dirahsiakan oleh Simon daripada pengetahuan Shan. Namun, Shan dapat mengagak sesuatu yang tidak kena pada Simon dan cuba untuk bertanya.Dia memaksa Simon menceritakan perkara sebenar.Akhirnya, setelah didesak oleh Shan, Simon menceritakan apa yang telah terjadi. Shan naik berang, dan pada suatu petang Shan terserempak dengan sekumpulan anak jiran tersebut. Shan pergi ke arah mereka. Kehadiran Shan menimbulkan seribu tanda tanya di hati mereka. Shan memerhatikan wajah anak jiran itu.Renungannya terarah kepada seseorang, iaitu Brandon.Shan menyoal Brandon sama ada lelaki itu yang mengoyakkan buku dan nota catatan Simon. Dengan nada angkuh, Brandon mengiyakan. Tidak semena-mena, Shan meluru ke arah budak itu dan menumbuk wajahnya. Brandon mengadu kesakitan. Kawan Brandon yang lain segera menangkap Shan.Brandon yang masih terkejut dengan tindakan Shan itu secara tiba-tiba mendapat kekuatan lalu menampar wajah Shan. Kemudian, dia menghayun penumbuk ke arah perut Shan. Shan yang tidak dapat menahan kesakitan tertunduk lalu rebah ke tanah. Brandon memberi amaran kepada Shan supaya jangan cuba campur tangan urusannya.Mereka kemudian beredar pergi dan meninggalkan Shan yang masih menahan kesakitan akibat ditampar dan ditumbuk.Tidak lama, hujan mulai turun dan mula melebat.Shan masih lagi terbaring di tanah. Hari mulai gelap, dan Shan masih belum pulang ke rumah. Ibu bapa mereka mulai bimbang.Mereka pergi ke rumah Simon kalau-kalau Shan ada di sana. Mereka bertanya kepada Simon namun Simon menyatakan bahawa Shan tiada di rumahnya dan dia tidak tahu ke mana Shan pergi. Simon segera keluar dan mencari Shan. Akhirnya setelah puas mencari, Simon melihat sekujur tubuh terbaring di taman. Simon terkejut apabila melihat bahawa dia ialah Shan. Shan basah kuyup kerana kehujanan. Tidak lama, ibu bapa Shan tiba dan mereka terkejut melihat apa yang berlaku kepada Shan. Saat Simon ingin mengangkat Shan, mereka segera menolak Simon ke tepi. Ayah Shan kemudian mengangkat Shan dan membawanya pulang.Simon dibiarkan keseorangan di situ. Simon hanya berdiri termangu kerana dia masih terkejut dengan apa yang telah berlaku. Keesokan harinya, setelah pulang dari sekolah Simon berkunjung ke rumah Shan kerana Shan tidak hadir ke sekolah pada hari itu. Saat dia memanggil nama Shan, tiba-tiba pintu dibuka dan kelihatan ayah Shan muncul di muka pintu. Ayah Shan memberitahu bahawa Shan ingin berehat dan tidak mahu diganggu.Sebelum menutup pintu, ayah Shan memberi amaran kepada Simon agar tidak mendekati Shan lagi. Simon hanya terdiam.Beberapa minggu selepas itu, Simon mendapat tahu daripada ibu bapanya bahawa Shan dan keluarganya sudah berpindah dari kejiranan itu. Simon terkilan kerana tidak dapat bersua dengan Shan lagi. Shan pergi begitu sahaja tanpa memberi apa-apa penjelasan. Adakah persahabatan mereka berakhir di situ? Adakah mereka dapat berjumpa semula? Adakah Shan akan memberi penjelasan kepada Simon akan peristiwa itu? Adakah peristiwa lama masih berbekas di hati Shan? Tahukah Simon nanti akan pengorbanan Shan terhadapnya? Shan, Empat Musim Di Hatiku membawa pembaca untuk menghayati erti sebuah persahabatan dan kemaafan. Akan menemui pembaca 15 September 2015.Nantikannya... ;)



About Indera Pujangga

Organic Theme is officially developed by Templatezy Team. We published High quality Blogger Templates with Awesome Design for blogspot lovers.The very first Blogger Templates Company where you will find Responsive Design Templates.

0 comments:

Copyright © 2015 creativeneuron

Designed by Templatezy | Distributed By Gooyaabi Templates