Monday, August 31, 2015

Shan, Empat Musim Di Hatiku (Sipnosis)



Shan, Empat Musim Di Hatiku (Sipnosis)

Shan, Empat Musim Di Hatiku adalah sebuah kisah persahabatan di antara Simon dan Shan.Simon dan Shan berkawan sejak kecil lagi.Mereka tinggal berjiran dan membesar bersama. Simon adalah seorang yang suka membaca buku manakala Shan adalah seorang yang suka mendengar muzik. Pelbagai suka dan duka mereka alami. Simon sering diejek oleh kawan sejiran mereka kerana dia sering membawa buku dan nota catatan ke mana sahaja dia pergi.Pernah, mereka merampas buku dan nota catatan Simon dan mengoyakkannya. Kejadian itu cuba dirahsiakan oleh Simon daripada pengetahuan Shan. Namun, Shan dapat mengagak sesuatu yang tidak kena pada Simon dan cuba untuk bertanya.Dia memaksa Simon menceritakan perkara sebenar.Akhirnya, setelah didesak oleh Shan, Simon menceritakan apa yang telah terjadi. Shan naik berang, dan pada suatu petang Shan terserempak dengan sekumpulan anak jiran tersebut. Shan pergi ke arah mereka. Kehadiran Shan menimbulkan seribu tanda tanya di hati mereka. Shan memerhatikan wajah anak jiran itu.Renungannya terarah kepada seseorang, iaitu Brandon.Shan menyoal Brandon sama ada lelaki itu yang mengoyakkan buku dan nota catatan Simon. Dengan nada angkuh, Brandon mengiyakan. Tidak semena-mena, Shan meluru ke arah budak itu dan menumbuk wajahnya. Brandon mengadu kesakitan. Kawan Brandon yang lain segera menangkap Shan.Brandon yang masih terkejut dengan tindakan Shan itu secara tiba-tiba mendapat kekuatan lalu menampar wajah Shan. Kemudian, dia menghayun penumbuk ke arah perut Shan. Shan yang tidak dapat menahan kesakitan tertunduk lalu rebah ke tanah. Brandon memberi amaran kepada Shan supaya jangan cuba campur tangan urusannya.Mereka kemudian beredar pergi dan meninggalkan Shan yang masih menahan kesakitan akibat ditampar dan ditumbuk.Tidak lama, hujan mulai turun dan mula melebat.Shan masih lagi terbaring di tanah. Hari mulai gelap, dan Shan masih belum pulang ke rumah. Ibu bapa mereka mulai bimbang.Mereka pergi ke rumah Simon kalau-kalau Shan ada di sana. Mereka bertanya kepada Simon namun Simon menyatakan bahawa Shan tiada di rumahnya dan dia tidak tahu ke mana Shan pergi. Simon segera keluar dan mencari Shan. Akhirnya setelah puas mencari, Simon melihat sekujur tubuh terbaring di taman. Simon terkejut apabila melihat bahawa dia ialah Shan. Shan basah kuyup kerana kehujanan. Tidak lama, ibu bapa Shan tiba dan mereka terkejut melihat apa yang berlaku kepada Shan. Saat Simon ingin mengangkat Shan, mereka segera menolak Simon ke tepi. Ayah Shan kemudian mengangkat Shan dan membawanya pulang.Simon dibiarkan keseorangan di situ. Simon hanya berdiri termangu kerana dia masih terkejut dengan apa yang telah berlaku. Keesokan harinya, setelah pulang dari sekolah Simon berkunjung ke rumah Shan kerana Shan tidak hadir ke sekolah pada hari itu. Saat dia memanggil nama Shan, tiba-tiba pintu dibuka dan kelihatan ayah Shan muncul di muka pintu. Ayah Shan memberitahu bahawa Shan ingin berehat dan tidak mahu diganggu.Sebelum menutup pintu, ayah Shan memberi amaran kepada Simon agar tidak mendekati Shan lagi. Simon hanya terdiam.Beberapa minggu selepas itu, Simon mendapat tahu daripada ibu bapanya bahawa Shan dan keluarganya sudah berpindah dari kejiranan itu. Simon terkilan kerana tidak dapat bersua dengan Shan lagi. Shan pergi begitu sahaja tanpa memberi apa-apa penjelasan. Adakah persahabatan mereka berakhir di situ? Adakah mereka dapat berjumpa semula? Adakah Shan akan memberi penjelasan kepada Simon akan peristiwa itu? Adakah peristiwa lama masih berbekas di hati Shan? Tahukah Simon nanti akan pengorbanan Shan terhadapnya? Shan, Empat Musim Di Hatiku membawa pembaca untuk menghayati erti sebuah persahabatan dan kemaafan. Akan menemui pembaca 15 September 2015.Nantikannya... ;)



Read »

Sunday, August 30, 2015

Perahu Timun Iban : Watak dan Perwatakan Aki Suki


Perahu Timun Iban : Watak dan Perwatakan Aki Suki

Di dalam cerita Perahu Timun Iban, Aki Suki digambarkan sebagai watak utama dan protagonis.Berusia dalam lingkungan 70-an, Aki Suki mempunyai seorang isteri yang bernama Ini Suki.Aki Suki dan Ini Suki mempunyai seorang anak perempuan bernama Suri. Suri ialah satu-satunya anak mereka. Kematian Suri setelah meminum racun akibat perbuatan Sempurai yang menggilai perempuan lain telah memberi kesan yang amat besar kepada Aki Suki dan Ini Suki.Aki Suki amat kehilangan Suri. Kematian Suri adalah kerana perbuatan Sempurai.Aki Suki sedaya mampu menahan kesedihannya sewaktu hari pengebumian Suri. Sempurai memeluk kaki Aki Suki sambil menangis dan meraung.Dia meminta ampun di atas segala dosa yang telah dia lakukan kepada Suri. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bencinya Aki Suki kepada Sempurai. Kalau dia tidak mampu menahan rasa marahnya pada hari itu,sudah pasti dibunuhnya Sempurai. Namun, Aki Suki juga seorang pemaaf.Perasaan marahnya kendur terhadap Sempurai apabila melihat Sempurai sudah menjadi tidak siuman setelah kematian Suri.Sempurai ketawa, menangis, dan bercakap sendirian.Lama-kelamaan dia simpati melihat Sempurai. Dia akhirnya membawa Sempurai berubat dengan Aki Kilat, seorang manang atas cadangan Apai Kelabu.Dalam kerasnya hati Aki Suki wujud juga kelembutannya. Apa yang menjadi sebab Aki Suki mampu memaafkan Sempurai hanyalah satu, iaitu Suki.Aki Suki tidak mampu menahan kesedihannya ketika melihat wajah Suki.Di wajah Suki terpancar kasih sayang dan pengorbanan Suri. Sukilah satu-satunya harta yang ditinggalkan oleh Suri kepadanya. Suki suka sangat makan timun iban bergaul garam kasar. Apa yang ditunggu oleh Suki ialah perahu timun iban iaitu timun yang dikeluarkan isinya dan membentuk seperti perahu.Aki Suki senyum sendiri melihat Suki tidak sabar-sabar menanti perahu timun iban.Di sini jelas sifat penyayang dan ambil berat dalam diri Aki Suki.Aki Suki tidak mahu menghampakan harapan Suki walaupun hanya cuma perahu timun iban.Aki Suki juga mengharapkan kepulangan Sempurai setelah lelaki itu lama tidak balik ke kampung menjenguk Suki setelah mendapat pekerjaan di bandar.Sekali lagi air matanya menitis mengenangkan sikap Sempurai.Aki Suki ditegur oleh Suki.Aki Suki cuba menyembunyikan keadaan.Jelas di sini Aki Suki tidak mahu Suki melihat kesedihan di wajahnya. Biarlah Suki dilimpahi rasa gembira tanpa perlu berfikir apa-apa yang merunsingkan hati. Itulah Aki Suki, seorang tua yang sentiasa tabah dalam hidupnya dan sedaya mampu menyembunyikan kesengsaraan.Seluruh hidupnya kini adalah untuk Suki, biarpun suatu hari nanti Suki akan meninggalkannya kerana dia tetap menunggu meski esok bukan miliknya.Adakah watak Aki Suki akan dimatikan akhirnya untuk menamatkan penderitaannya? Nantikan fragmen terbaru Perahu Timun Iban. ;)

Seorang tua dalam gambar.Gambaran penulis tentang Aki Suki.Sekadar gambar hiasan.
Read »

Friday, August 28, 2015

Boneka Untuk Cikgu.Sipnosis.

Boneka Untuk Cikgu

Boneka Untuk Cikgu
Sipnosis : Boneka Untuk Cikgu. Boneka Untuk Cikgu mengisahkan tentang seorang guru muda yang dihantar bertugas ke sebuah kawasan pedalaman. Di sana, dia bertemu dengan seorang murid yang gagap dan istimewa. Dan kerana kegagapannya dia menjadi pendiam akibat malu diejek oleh kawan-kawannya. Keadaan keluarga murid itu juga tidak menentu. Ayahnya seorang pemabuk dan sering memukul ibunya. Bagaimana guru muda ini dapat membantu murid ini? Semuanya dalam Boneka Untuk Cikgu. Bonek
a Untuk Cikgu sarat dengan nilai murni dan pengajaran. “Silap seorang seorang doktor, mati seorang pesakit. Silap seorang guru, musnah satu generasi.”Kepada semua guru, nantikan cerita ini. Akan menemui anda esok. Selamat membaca.
p/s : A good teacher can inspire hope, ignite the imagination, and instill a love of learning.


Read »

Thursday, August 27, 2015

Manusia (Dalam Lingkungan Kesedarannya)

Manusia

Manusia 
( Dalam Lingkungan Kesedarannya)

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya,
Terkadang lupa saat derita,
Tatkala senyum seikhlasnya,
Menguntum rela di bibir.

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya,
Terkadang lupa saat bahagia,
Tatkala ketar jemarinya,
Menahan hati yang rawan.

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya, 
Walau tidak mampu menahan waktu,
Walau tidak mampu memutar sejarah,
Tetap mendansakan penanya,
Dan sedaya mencantum kembali,
Retak fragmen kehidupan,
Demi memahat memori terindah,
Dalam diari sejujur peribadi.

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya,
Terkadang lena dalam jaga.
Kau?

Am Nass, 28.3.2014



Read »

Biri-Biri Mimpi

Biri-Biri Mimpi
Biri – Biri Mimpi. Kepasrahan hati dalam lena yang sejenak.

Biri-Biri Mimpi
Antara tidur dan jaga,
Sedayaku memejamkan mata,
Kerna malam ini,
Harusnya sarat dengan mimpi,
Jiwa yang berilusi,
Mengira sang biri –biri,
Melompat pagar hati,
Yang terkesan oleh rasa,
Dalam kantuk menanti lena.

Kasih hadirlah,
Dalam lena yang sejenak,
Walau rindu sudah menjauh,
Dan bulan tidak lagi bersinar,
Bintang pula berguguran jatuh,
Hanya dingin menggigit tubuh,
Menemani malam yang panjang.

Sesungguhnya,
Aku tidak berdaya menangis lagi,
Kerna kolam mataku sudah lama kering,
 Dan sesungguhnya juga,
Aku tidak mampu mengharap lagi,
Kerna doaku sudah pun habis.

Tidak mengapa,
Pergilah, aku merelakannya,
Walau degup jantung ini,
Akan terhenti buat selamanya,
Sehabis kuhitung  biri – biri mimpi.

Biri – biri mimpi,
Kau tidak melompat lagi?

Am Nass, 19.12.2013



,






Read »

Simfoni Dari Kejauhan (Cinta Kita?)

Simfoni Dari Kejauhan

Simfoni Dari Kejauhan
(Cinta Kita?)

Aku pernah tiba,
Di suatu daerah sepi,
Jauh di dasar hati,
Berdiriku di titian waktu,
Menanti angin rindu,
Membawa pesan kalbu,
Dan,
Akulah jua menggumam rasa,
Dalam jiwa letih meronta,
Saat bibir terkunci rapat,
Khabar tidak seindah rasa,
Deminya aku terpaksa,
Menyusun semula fragmen kenangan,
Mencantum retak mimpi semalam.

Akulah pelukis deritalara,
Sedayanya aku cuba mewarna,
Mencorak kasih di kanvas putih,
Mendengar cerita dari penyair,
Dan juga pengetuk arca,
Tentang sepasang kekasih,
Mematerikan cinta sehening malam,
Dalam simbah cahaya rembulan.

Kau dan aku,
Kisah kita berbeda,
Tidak seperti musim semi,
Saat cinta berbunga harum,
Kau dan aku,
Seperti saling membelakangi,
Dipisahkan oleh tembok egois.

Simfoni dari kejauhan,
Hanya itu yang mampu kualun,
Kerna cinta kita,
Jauh tiada taranya,
Dekat tidak bersatu.
Selamanya?

Am Nass, 4.12.2013.












Read »

Cinta Adalah...(Cintaku Ibarat Nota Muzik)

Cinta Adalah
Cinta Adalah...
(Cintaku Ibarat Nota Muzik)

Aku masih teringat,
Di kala senja itu,
Saat mentari melabuhkan tirai,
Deburan ombak
Sekawan camar pulang petang,
Dan angin memesrai lembut,
Wajahmu yang ayu,
Sedang kau mengatur hujung rambut,
Sempat kau melirik manja kepadaku,
Menghadiahkan senyuman paling manis,
Hatiku tersentuh dan teruntun,
Dan kau tertawa kemudiannya,
Menampakkan baris gigi yang tersusun rapat,
Dan lesung pipimu terserlah,
Dan aku, dalam segan,
Membalas tawamu itu,
Sejenak kita berpandangan,
Dan saling memaknakan renungan.

Aku masih teringat,
Di kala petang itu,
Duduk- duduk kau dan aku,
Di atas hamparan rumput menghijau,
Aku memetik gitar, menyanyikan lagu,
Dan kau menutup matamu,
Menghayati “My Magical Journey”,
Yang liriknya dikarang olehmu,
Dan melodinya disusun olehku,
Dan sejenak aku,
Cuba menggambarkan fikiranmu,
Apakah getar yang aku rasakan itu,
Senadakah ia dengan jiwamu?
Sesaat itu kau membuka matamu,
Memandangku dengan rela,
Dan kau akhirnya tertunduk malu,
Lalu aku menghentikan petikan gitar,
Oh, Tuhan! Adakah gadis ini mencintaiku?

Aku masih teringat,
Semua kenangan itu,
Walau kini kita berjauhan,
Dan tiada lagi pesan,
Namun gitar tetap kupetik,
Dan lagu tetap kunyanyikan,
Jadilah ia satu simfoni,
Simfoni dari kejauhan,
Kerana cintaku untukmu,
Adalah ibarat nota muzik.

Dan, aku pasti,
Suatu hari nanti,
Kita akan menghiasi semula laman,
Yang telah lama kita tinggalkan,
Dan, kau...
Akan kembali, bukan?

Am Nass, 7.12.2013
p/s: Nantikan kehadiran cerita Cinta Adalah... (Cintaku Ibarat Nota Muzik)...Cerita yang penuh dengan pengharapan ini ;)


Read »

Sakura Hanami (Cinta Musim Semi)

Sakura Hanami
Sakura hanya berbunga tujuh hari setahun.Hanya selama itukah cinta kita?
Di musim semi ini, aku titipkan kau sebuah puisi.Agar bisa kau kenang diriku dalam kerinduan yang sekejap.Tika habis diriku dimamah rindu, lemparlah senyummu lewat angin.Tika kau merasa kehilangan, saat itu aku sudah tiada di sisimu...

Sakura Hanami
(Cinta Musim Semi)

Gadis berkimono bersimpuh tertib,
Jemari halusnya membancuh teh hijau,
Gunung Fuji memutih,
Sakura ditiup angin,
Berguguran jatuh,
Ke dalam cawan kecil berisi sake.

Seorang anak kecil,
Berlari riang dan tertawa,
Di rumput menghijau ditemani ayahnya,
Seorang gadis menulis diari,
Dipayungi pohon meredup.

Aku masih ingat lagi,
Saat terindah itu,
Ketika aku duduk di hamparan tikar,
Kau dengan baju merah jambu,
Cuba mengusik dengan menarik rambutku,
Dan kemudian kau berlari-lari,
Menyembunyikan dirimu,
Di sebalik pohon sakura yang mekar,
Hatiku teruntun,
Dengan senyuman paling manis,
Yang kau lemparkan lewat angin.

Sayonara kasihku,
Kau membisik lembut di kupingku,
Pada suatu petang itu,
Adakah ia suatu ucapan selamat tinggal?
Dan kau dalam genang mata berkaca,
Mengangguk perlahan dan tertunduk,
Aku cuba menyeka mutiara,
Yang gugur di kelopak,
Akhirnya aku tahu,
Waktunya sudah tiba,
Untuk kau pergi meninggalkanku.

Sakura Hanami,
Cinta musim semi,
Segalanya tinggal memori,
Namun aku tetap menunggu,
Sakura kembali berbunga,
Kerana kau,
Akan kembali, bukan?
Dan aku tetap berharap,
Kita akan kembali menghias laman,
Yang telah lama kita tinggalkan.

Am Nass. 9.12.2013.
Sapporo-shi, Hokkaido, Japan.








Read »

Zaman-Zaman Keriangan (Warna Sari Kehidupan)

Zaman - Zaman Keriangan
Zaman-Zaman Keriangan
(Warna Sari Kehidupan)

Tanah lapang di belakang rumah
Pernah jadi arena rakan sepermainan
Bermain guli dan tikam selipar
Diseri tempik sorak, derai tawa
Sesekali menangis guli pecah
Lebihnya suka orang lain kalah
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu anak-anak hingusan.

Petang-petang begini
Siap sudah ketul-ketul batu
Kayu bercabang terselit kemas
Antara seluar getah dan punggung berisi
Tempatnya di hutan tebal menjejak
Jauh tidak dari tanah lapang
Jenis apakah bertuah ini kali?
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu hendak akil baligh.

Di bangku kayu di bawah pohon sena
Duduk-duduk merpati dua sejoli
Beg, buku-buku dan alat tulis tumpang sekaki
Tunggu dulu nanti ulang kaji 
Kerana ini masa untuk bermadah
Ini masa untuk pantun seloka
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu sudah masuk remaja.

Sabtu pagi yang tenang dan damai
Hari terindah alam dewasa
Mengekal bahagia menguji hati
Tika saat-saat mendatang
Perasaan tiada terbayangkan
Bila mendengar tangisan pertama 
Kini sudah bergelar ayah
Kini sudah bergelar ibu
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu sudah berumahtangga.

Zaman-zaman keriangan
Yang tetap diingati sememangnya
Mengajar erti masa kerinduan
Di kala sepi begini; permata hati di perantauan
Saat diri dimamah usia
Mampukah diulang lagi?

Zaman-zaman keriangan
Warna sari kehidupan
Hadirnya hanya sekali.


Am Nass, 28.3.2014
Read »

Titis Gerimis (Pernahkah Kau Melihat Hujan?)

Titis Gerimis

Titis Gerimis.Sebuah sajak yang cuba menyelami hati dan perasaan kita tatkala gerimis sedang turun. Apakah definisi anda tentang gerimis? Gerimis, titisnya bagai mutiara.Menyimpan sejuta perasaan.Lepaskan segala tekanan.Biarkan ia membasahi  tubuh.Selamat membaca...

Titis Gerimis
(Pernahkah Kau Melihat Hujan?)

Titis gerimis,
Pernahkah kau melihat hujan?
Saat gugurnya membasah bumi,
Mutiaranya menumpang di daun,
Jernih ; seasli dirinya,
Malu dan terketar melihat mentari,
yang bersinar lembut.
Perlahan menghilang, dan awan kembali tersenyum.
Mewarna pelangi...
                                  
Titis gerimis,
Pernahkah kau melihat hujan?
Saat gugurnya membasah bumi,
Mutiaranya jatuh di telapak tangan,
Sejuk dan hangat kemudiannya,
            digenggam perlahan.
Dingin udara mendamaikan,
Seorang anak kecil yang menanti
ayahnya pulang.

Titis gerimis,
Pernahkah kau melihat hujan?
Saat gugurnya membasah bumi,
Mutiaranya jatuh menimpa rambut,
Perlahan diusap dan mendongak,
Rintiknya jatuh ke muka,
Dibiarkan sahaja ; rasa ingin
melepaskan semuanya.
Beban dan tekanan...

Maaf teman,
Kerana selama ini tidak pernah
cuba untuk memahami,
Tidak pernah cuba untuk mengerti,
Akan rendahnya hati,
Dan akhirnya aku tersedar,
Hatiku menangis,
Sesudah gerimis.

Am Nass, 28.3.2014

Read »

Wednesday, August 26, 2015

Cinta Adalah.Fragmen 1-3

Erin Erina and Vincent Tan
Cinta Adalah...(Love Is)~ Sipnosis 
Cinta Adalah... (Love Is...) ialah sebuah cerita yang berkisar tentang cinta dan persahabatan. Cinta Adalah... atau tajuk asalnya Cinta Adalah : Buat Apa Saja Yang Difikirkan Perlu ditulis kerana aku merasakan cinta dan persahabatan ibarat ikatan yang tidak terpisahkan. Dalam Cinta Adalah...(Love Is...),watak utama dipegang oleh Erin Erina dan Vincent Tan. Erin Erina asalnya ialah seorang gadis yang ceria dan suka berjenaka serta tidak pernah lekang dengan senyum tawa dan usik manja. Seorang yang meminati muzik dan mahir menggunakan gitar akustik. Baginya, setiap manusia ada cara untuk meluahkan perasaan dan Erin Erina menemukannya dalam bait-bait lagu.Sewaktu di sekolah menengah, Erin Erina telah menghasilkan sebuah lagu yang berjudul “My Magical Journey” . “My Magical Journey” dihasilkan dengan bantuan Vincent Tan. Vincent Tan ialah ketua pancaragam dan konduktor koir di sekolah. Vincent Tan, lelaki Cina yang aktif bermuzik ialah seorang yang naif dan lurus. Tidak banyak bercakap, namun dialah pencetus idea muzikal di sekolah sehingga digelar Maestro Vincent. Boleh bermain hampir kesemua alat muzik, namun lebih meminati biola. Vincent Tan menyimpan perasaan terhadap Erin Erina dan tertarik kepada gadis itu buat pertama kalinya apabila Erin Erina berpindah ke sekolah tersebut. Apa yang membuatkan Vincent Tan tertarik ialah Erin Erina telah membawa gitar akustik bersama dengannya dan menyanyikan sebuah lagu yang berjudul “Nice To Meet You” sebagai salam perkenalan buat rakan-rakan. Persembahan Erin Erina mengagumkan semua orang. Cikgu Gordon, guru kelas dan juga guru muzik terpegun dengan bakat yang ada pada Erin Erina. Cikgu Gordon mencadangkan Erin Erina untuk menyertai Kelab Muzikal Sekolah tetapi Erin Erina menolak dengan alasan dia ingin bebas bermuzik dan tidak mahu terikat dengan Kelab Muzikal Sekolah. Cikgu Gordon terkilan dengan jawapan Erin Erina namun menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka. Jawapan Erin Erina itu menyebabkan Vincent Tan hampa kerana dia ialah Pengerusi Kelab Muzikal Sekolah dan tentunya keputusan yang dibuat oleh Erin Erina menyukarkannya untuk mendekati gadis itu.Tapi, bagaimana akhirnya mereka boleh menghasilkan “My Magical Journey” bersama?

Cinta Adalah...~ (Fragmen 1)
“Jangan, Erin. Jangan buat macam ni.” Am cuba menghampiri Erina.Erina semakin menjarakkan diri. Menghampiri balkoni.Di tangannya sebilah pisau kecil. “Tenang, Erin.”Ronny cuba menenangkan keadaan.Erina menangis.Terketar-ketar,mendekatkan pisau ke pergelangan tangan. Ingin mengerat. “Erin...ingat tak masa kita pergi berkhemah dulu?Yang kau cuba hidupkan kayu api tapi tak dapat-dapat?Masa masak nasi kau terlebih air pulak.Kan Ronny?” “A’ah,aku saja yang sanggup habiskan semua bubur tu.”Ronny cuba untuk bergurau.Erina masih teresak-esak.Pisau mula dijarakkan sedikit daripada pergelangan tangan. Erina terduduk.Tangannya masih menggenggam pisau namun sedikit dikendurkan. “Erin...beri pisau tu kepada aku.”Am semakin menghampiri.Membongkok perlahan. “Erin...”Erina melepaskan pisau.Perlahan-lahan Am mengambil pisau yang dijatuhkan.Memberikannya kepada Ronny. Erina menunduk . “Kenapa,Erin?”Erina masih terdiam.Sedunya beransur reda. “ Tolong aku, Am.” Erina mula bersuara. “Apa masalah kau,Erin?”Am memandang Erina .Cuba mendapatkan jawapan. “Am, aku...aku...aku..." Erina mendapatkan Am.Memeluk lelaki itu.Erat.Erina menangis lagi.Am memandang Ronny.Ronny pula melihat pisau yang telah diambil daripada Erina.Ronny terduduk.Mengeluh kesal.Erina...kenapa? Apa yang telah terjadi sebenarnya?
Bersambung fragmen 3

Cinta Adalah...~ (Fragmen 2)
Am memimpin Erina ke sofa. Ronny pergi ke dapur, membuat segelas susu panas. Dapur Erina bersih saja. Teratur dan rapi, tidak menggambarkan dirinya yang sedang berkecamuk sekarang. Pisau yang diambil daripada Erina disimpan kemas. Ronny terlihat masih ada beberapa bilah pisau di rak. Erina mengatur rambut dan menyeka air mata yang masih bersisa. “Am, beri aku tisu.”Erina meminta tisu. Memandang Am sekejap, dan cepat menunduk.Mungkin malu Am melihatnya dalam keadaan begitu. “Mana?” Am bertanya kepada Erina.Matanya memerhati sekitar ruang tamu.Kalau-kalau ada tisu diletakkan.
“Dapur.”Erina menjawab ringkas. “Ronny, ada tisu kat situ tak? Bawa sekali.”Am keberatan untuk meninggalkan Erina. “ Baik. ”Ronny menjawab ringkas. Ronny pening sendiri. Banyak benda berbahaya di dapur. Ingin saja dia menyembunyikan semuanya. “Huh,”Ronny mengeluh lagi.Dia berharap agar emosi Erina sudah terkawal.
Tak lama, Ronny keluar membawa segelas susu panas dan sekotak tisu.Memberikan kotak tisu kepada Am. Am menghulurkan kotak tisu kepada Erina. Erina mengambil beberapa helai.Menyapu wajahnya yang membasah. Tisu yang sudah terguna diletakkan di tepi. Ronny menghulurkan gelas yang berisi susu panas kepada Erina. “Hati-hati, panas...”Ronny mengingatkan Erina. Erina menghirup sedikit.
Am memandang Ronny.Memberi isyarat supaya menjaga Erina sebentar. Ronny mengangguk tanda faham.Am menjarakkan diri. Mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluar. Mendail. Menunggu panggilannya dijawab.
“Hello,Isabel.”
“Hello.Hi, Am.”
“Boleh datang sini, tak? Rumah Erina. Aku perlukan bantuan kau.”
“ Rumah Erina?Sekarang? Ada apa, Am?”
“Nanti aku jelaskan.Cepat iya...”
“ Baik, Am”
Am menyimpan semula telefon bimbitnya.Perlahan, dia menuju ke arah Erina. Mengambil ruang kosong di tepi Erina. Memandang Erina.Tak lama,air mata Erina mengalir semula.Am melihat jam di tangan. Merapatkan kedua belah tangannya.Cepat, Isabel...
Bersambung fragmen 2..

Cinta Adalah...~ (Fragmen 3)
Ronny berdiri di muka pintu. Kacau sedikit fikirannya. Dia tidak menyangka Erina yang dia kenal, ceria dan suka berjenaka sanggup melakukan perkara seumpama itu.Dengan tangan yang masih sedikit ketar,Ronny mengeluarkan kotak rokok daripada saku seluarnya.Dia ingin menenangkan fikiran. Diambilnya sebatang dan cuba dinyalakan. Perbuatannya terhenti apabila melihat kereta mendatang. Tahu benar dia siapa pemilik kereta itu. Rokok yang cuba dinyalakan disimpan semula dalam saku baju.Isabel keluar dari kereta. Ronny cepat-cepat menuju ke arahnya. “ Isabel.”Ronny memulakan bicara. “Eh, Ronny! Apa halnya ni?"Isabel mula bertanya. Dia memandang wajah Ronny. Seakan dapat membaca, Isabel mengagak ada sesuatu yang tidak kena."Erina nak bunuh diri."Spontan,Ronny menjelaskan apa yang telah berlaku."Apa?! Mana Erina sekarang!?"Isabel terkejut.Dia segera bertanyakan Erina.Ronny serba salah dengan penjelasannya.Dia pasti tahu akan reaksi Isabel.Kenapa dia segera memberitahu?Ronny semakin resah. “Ruang...”Belum sempat Ronny menghabiskan kata-kata,Isabel merempuh Ronny.Ronny tertolak ke tepi.Isabel dengan pantas menuju ke arah pintu.Ronny masih tercegat seperti orang dungu.Buntu.Ronny menyapu mukanya dengan tangan.Am, maafkan aku.Aku..Aku takut
Bersambung fragmen 4..

Petikan Fragmen Lain...
Am membuka pintu bilik. Dia memasuki ruang itu dengan rasa memberat. Am membuka suis lampu, kemudian mendekati katil. Menghempas punggungnya perlahan ke tilam. Melepas cermat kaca matanya, diletak bersebelahan dengan bantal, di sisi kiri. Selalu begitu. Walau risikonya untuk pecah memang tinggi, namun ia tidaklah setinggi bahaya yang hampir menempah nyatanya. 
Am merebahkan diri ke tilam. Sedaya dia cuba mengatur pembaringan. Terlentang, miring, nampaknya dia gagal untuk menenangkan diri. Kenapa semua ini harus terjadi? Erina, gadis yang cukup terkenal sewaktu di sekolah menengah. Ceria, lincah, tidak kering dengan gurauan dan usik manja. Am masih ingat lagi, Erina pernah membuat persembahan solo akustiknya semasa sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Erina membawa lagu, “My Magical Journey”. Liriknya tercipta asli oleh Erina sendiri. Melodinya juga disusun cermat oleh Erina, sambil dibantu oleh Vincent Tan, ketua pancaragam dan konduktor koir. 
Vincent, lelaki Cina yang aktif bermuzik, adalah seorang yang naif dan lurus. 
Tidak banyak bercakap, namun dialah pencetus idea muzikal di sekolah, sehingga diberi gelaran Maestro Vincent. Karya-karyanya menggetar rasa, mengubat jiwa. Sebenarnya, dalam diam Vincent menyimpan perasaan terhadap Erina. Sedikit cuma yang tahu akan hal ini. Hanya dua , Am dan Ronny. Dua orang yang sentiasa membantu dan mendorong Vincent dalam penghasilan karya-karyanya. Am, memberi gambaran dan ekspresi kepada Vincent, kemudian Vincent menterjemahnya dalam nota muzik. Ronny, cuba-cuba menyanyikan lirik yang dikarang oleh Vincent, di samping sering memberi kata-kata semangat kepada Vincent. 
Vincent ialah ahli Bulan Sabit Merah Malaysia. Pernah suatu ketika, Vincent berhasrat untuk menukar keahliannya kepada Pengakap untuk mendekati Erina. Ini kerana Erina ialah seorang ahli Pandu Putri, dan kebetulan Pandu Putri selalu mengadakan perkhemahan bersama dengan Pengakap. Namun, hasratnya terbatal setelah dinasihati oleh Am dan Ronny. Bagi Am, Vincent lebih menyerlah dalam Bulan Sabit Merah Malaysia, dan ia bukan satu keputusan yang bijak daripada seorang yang cerdik dan pandai seperti Vincent. Ronny menyedarkan Vincent bahawa Bulan Sabit Merah Malaysia memerlukan kepakarannya, dan untuk mendekati Erina, Vincent boleh menggunakan pendekatan lain. Peluang menghasilkan “My Magical Journey” bersama dengan Erina adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh Vincent. 
Semacam satu rahmat, segalanya berjalan dengan lancar. Kata Vincent, Erina ada mengajaknya bersama untuk membuat persembahan. Namun, Vincent menolak dengan alasan “My Magical Journey” lebih indah,artistik, dan penuh penghayatan sekiranya hanya Erina yang membawanya. Pada hari persembahan, “My Magical Journey” tidak menghampakan. Sangat tidak. Petikan halus gitar oleh Erina, diiringi suara yang mendayu, mendamaikan hati segenap warga sekolah. “My Magical Journey”, suara hati Erina, dan pendaman rasa Vincent. Di mana Vincent? Sejenak, Am cuba menemukan jawapan terhadap persoalan itu. Ya, di mana lelaki itu sekarang?
Bersambung...
Read »

Aishar Atsemes.Fragmen 1-2

Uannum Namron
Aishar Atsemes~(Fragmen 1 – Fragmen 2)

Aishar Atsemes~ Fragmen 1
Socram Gnapel, Maharba Gnareyn, dan Ynnor Iaregetnom ialah tiga orang adik-beradik yang berasal daripada sebuah keluarga petani yang miskin. Pada suatu hari, seorang pengembara bernama Uannum Namron telah ditemui pengsan di hadapan pondok rumah mereka akibat dahaga dan kepenatan.Dia telah dirawat oleh ayah mereka.Setelah sembuh,Uannum Namron membalas jasa dengan membantu mereka bertani.Socram, Maharba, dan Ynnor amat suka bergaul dengan Uannum Namron dan begitu juga dengan Uannum Namron. Dia amat menyenangi keluarga itu.Sampai masa, Uannum Namron menyatakan hasrat untuk menyambung pengembaraannya. Malam itu, ayah mereka telah bermimpi didatangi oleh seorang lelaki tua.Lelaki tua itu berkata bahawa ketiga-tiga anaknya perlu mengikut Uannum Namron mengembara.Lelaki tua itu memberitahu lagi yang Uannum Namron bukan seorang pengembara biasa tetapi dialah yang akan membuka takdir ketiga-tiga anaknya.Mimpi itu amat mengejutkan ayah mereka dan menceritakan mimpi itu kepada ibu mereka. Ayah mereka berhasrat untuk memberitahu Uannum Namron akan perkara itu, tetapi dihalang oleh ibu mereka dengan alasan Uannum Namron tidak akan bersetuju untuk membawa ketiga-tiga anak mereka bersamanya.Ibu mereka berkata hanya ada satu jalan sahaja, iaitu kedua-dua mereka lari meninggalkan ketiga-tiga anak mereka secara senyap.Ayah mereka terkejut dengan kata-kata ibu mereka.Dia tidak menyangka ibu mereka sanggup berkata begitu.Namun, ibu mereka menjelaskan jika benar Uannum Namron akan membuka takdir ketiga-tiga anak mereka, maka keputusan itu perlu diambil walaupun amat berat.Dan, saat Uannum Namron dan ketiga-tiga anak itu sedang tidur, ayah dan ibu mereka meninggalkan tempat itu. Ibu mereka sempat mengucup dahi ketiga-tiga anaknya.Dia berasa amat sebak.Saat itu, air matanya mula menitis namun ditahannya untuk menangis kerana tidak mahu ketiga-tiga anaknya tersedar. Pagi itu, Uannum Namron bangun seperti biasa. Namun, dia sedikit hairan, kerana tidak dikejutkan oleh ayah mereka.Tiba-tiba, dia terdengar suara Socram dari dalam.Kemudian berbalas dengan suara Maharba.Tidak lama, dia terdengar Ynnor menangis.Uannum Namron semakin kehairanan sehingga Socram keluar mendapatkannya dan memberitahu kedua-dua ibu bapa mereka tiada di situ. Uannum Namron terdiam.Dia berdiri kaku.Seperti dia juga memahami sesuatu, sebenarnya. Hakikatnya, dia telah lama didatangi oleh seorang lelaki tua dalam mimpinya,iaitu akan ada tiga orang anak lelaki milik keluarga petani yang miskin akan diajari olehnya nanti.Namun, kebaikan keluarga itu menahan Uannum Namron tinggal lebih lama di situ. Itulah takdir Uannum Namron.Dan kini Uannum Namron akan membuka takdir ketiga-tiga anak itu. Bersambung Fragmen 2~

Aishar Atsemes~Fragmen 2
Uannum Namron ialah seorang pemuda yang berusia 24 tahun. Dia ialah anak kepada seorang tukang kayu yang bernama Semaj Hpesoj. Sejak dari kecil lagi Uannum Namron telah diajar oleh ayahnya seni pertukangan. Semaj Hpesoj berharap agar suatu hari nanti Uannum Namron boleh menggantikan tempatnya. Ketika berusia 10 tahun, ibunya Yma Yram telah diserang penyakit batuk kering. Semaj Hpesoj telah membawa seorang tabib iaitu Yak Gniy datang ke rumahnya untuk merawat isterinya. Yak Gniy memberitahu bahawa penyakit isterinya itu sukar untuk diubati melainkan dengan adanya air rebusan rukec. Rukec ialah sejenis tumbuhan herba yang amat jarang didapati melainkan hanya terdapat di hutan Aiag. Yak Gniy memberitahu lagi bahawa tiada siapa yang berani pergi ke hutan Aiag kerana hutan Aiag dijaga oleh seekor binatang buas yang dipanggil Sanag. Sanag dikatakan binatang buas yang boleh berkata-kata dan memperdaya manusia. Sebelum sesiapa boleh membawa pulang sesuatu dari hutan itu, Sanag akan meminta manusia menjawab teka-tekinya. Sekiranya gagal menjawab, Sanag akan membunuh mereka dengan kejam sekali. Jantung, hati, paru-paru, dan segala isi perut akan dikeluarkan oleh Sanag dan dilapahnya mentah-mentah. Kepala pula akan diikat dan digantung di atas pokok Gnapat. Semaj Hpesoj mendengar penjelasan Yak Gniy dalam ketar namun wajahnya masih tenang. Yak Gniy bertanya kepada Semaj Hpesoj adakah dia berani untuk pergi ke hutan Aiag untuk mendapatkan rukec.Semaj Hpesoj memberitahu sekiranya hanya air rebusan rukec yang dapat menyembuhkan isterinya, dia sanggup untuk pergi ke hutan Aiag. Yak Gniy tidak berkata apa lagi. Sebelum Yak Gniy meminta diri untuk pulang, dia berpesan kepada Semaj Hpesoj iaitu sekiranya Semaj Hpesoj berjaya mendapatkan rukec dia mesti segera pulang dan tidak boleh menoleh ke belakang. “Ingat, Semaj. Walau apapun yang awak dengar dan rasa, jangan sekali-kali menoleh ke belakang. Terus pulang sehingga awak selamat sampai di rumah.” Semaj Hpesoj memandang wajah Yak Gniy, kemudian dia mengangguk perlahan.

Nantikan sambungannya di Fragmen 3...
Read »

Dendam Kubur.Fragmen 1

Tok Karim and Abny

Cerita baru daripada saya. Mengisahkan seorang tua bernama Tok Karim dan seorang wartawan bernama Abny.Saya pernah menulis tentang Tok Karim dan Abny sewaktu di Tingkatan Tiga dan dimasukkan dalam majalah sekolah. Tajuknya pada masa itu ialah Dendam Kubur.Namun sekarang, Abny sudah dewasa dan menjadi seorang wartawan. Tok Karim pula sudah tidak menghalau hantu lagi. Masa berlalu, dan kini Abny kembali ke Desa Pantai Melati untuk berjumpa dengan Tok Karim. Walaupun mereka berl...ainan bangsa, namun Abny sudah biasa dengan budaya Melayu. Pertemuan semula ini pastinya mengimbau kenangan lama. Terlalu banyak pengalaman Abny bersama Tok Karim.Bagaimana Abny hampir-hampir kehilangan nyawa dalam Dendam Kubur. Namun itu kisah lama. Kini, dua watak ini dipertemukan semula di Desa Pantai Melati.


Dendam Kubur 2. Fragmen 1 

Petang itu agak mendung. Angin berpuput lembut memesrai daun di pohon.Tidak lama lagi burung akan pulang ke sarang. Mentari tidak memancar cerah, cahayanya dilindungi oleh awan yang sedikit kelabu. Awan pula berarak perlahan. Di bendang, kelihatan beberapa orang petani sedang bersiap sedia untuk pulang. Mereka mengemaskan peralatan menuai. Seorang anak kecil berlari ke arah ibunya. Ibunya menjerit kepada anak kecil itu. Memintanya supaya tidak berlari. Takut-takut tersadung. Anak kecil itu memperlahankan lariannya, dan kemudian berhenti berlari. Dia berjalan perlahan menuju ibunya. Anak kecil itu memperkatakan sesuatu kepada ibunya. Ibunya kemudian mengusap wajah anak kecil itu. Anak kecil itu dan ibunya berjalan pulang. Sawah padi yang menguning. Di belakangnya pula, terdapat sebuah bukit. Nun di hujung kampung, terdiri sebuah rumah yang sudah agak lama binaannya. Seorang lelaki tua sedang duduk-duduk di luar pintu. Garis usia jelas kelihatan di wajahnya. Melihat kepada wajah itu, dia seperti berusia dalam lingkungan 60an. Di jemarinya terselit sebatang rokok. Rokok itu itu dihisapnya dalam-dalam, dan kemudiannya dihembus perlahan. Di memandang jauh, seakan mengingat semula kenangan lama. Fragmen-fragmen kenangan mula bermain di mindanya. Sejenak, dia teringat semula pengalamannya bekerja sebagai seorang penghalau hantu. Terlalu banyak cabaran yang dihadapinya. Ada satu yang tidak pernah dilupakannya. Bagaimana pekerjaannya itu hampir meragut nyawa seorang anak remaja. Seorang anak remaja penakut yang pernah tinggal bersama dengannya. Dia cuba mengingat kembali wajah anak remaja itu. Bersih sahaja wajahnya. Dia juga seorang anak yang sopan. “Abny...,” lelaki tua itu tiba-tiba tersebut nama anak remaja itu. Tidak lama, mata lelaki tua itu genang berkaca. Dia berasa sebak tiba-tiba. Dalam diam, dia berasa bersalah kepada Abny. Berasa bersalah juga kepada kedua orang tua Abny. Nyawa Abny hampir melayang malam itu. Sekiranya lelaki tua itu tidak bertindak cepat, Abny sudah mati dibunuh oleh hantu kubur. Abny, anak remaja yang penakut tetapi sentiasa ingin bersama dengannya. Lelaki tua itu mengusap wajahnya. Rokok sudah setengah dihisap. Seperti kebiasaannya, tidak akan habis dihisapnya sebatang. Selalu begitu. Namun, kali ini dia menghabiskannya. Dia ingin menenangkan diri. “ Tok, suatu hari nanti saya akan kembali berjumpa dengan Tok,” kata-kata Abny terngiang-ngiang di kepalanya. Dan, janji anak remaja itu digenggamnya sehingga kini. Abny, di mana kau sekarang, nak? Kata lelaki tua itu dalam hati.Lelaki tua yang bernama Tok Karim. 

Bersambung Fragmen 2.
Read »

Copyright © 2015 creativeneuron

Designed by Templatezy | Distributed By Gooyaabi Templates